Monday, 4 November 2013

Sejarah Kalendar Islam / Kalendar Hijrah

                                      



Sejarah Kalendar Islam


1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina Umar bin Al Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina Umar membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun Masihi. Maka, telah berlaku salah faham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan2 Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

3. Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalendar umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam. Namun ditolak oleh Saidina Umar. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi S.A.W berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

4. Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Saidina Umar R.A menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi S.A.W berhijrah.

5. Sejarahwan besar Al Hafizd Al Imam Ibn Kathir [W. 774H] menyebut dalam karya sejarahnya Al Bidayah wa Al Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: 'Seorang lelaki datang kepada Umar n berkata: 'Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu.' Jawab Umar: 'Cadangan yang baik.' Mereka berkata: 'Tahun bila kita hendak mulakan?!' 

Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi S.A.W, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain2. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: 'Bulan manakah hendak kita mulakan?!' Ada yang mencadangkan Ramadhan, ada yang mencadangkan Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji n ia juga termasuk dalam bulan2 haram. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama.
[Al Bidayah wa al Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr].

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi S.A.W berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

6. Menurut para pengkaji Sirah Nabi S.A.W, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi S.A.W yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu Al Rahiq Al Makhtum karangan Al Syeikh Al Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi S.A.W keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar Al Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam.

7. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib [Madinah]. Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi S.A.W sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis.
[lihat perincian: Al Mubarakfuri, Al Rahiq Al Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad].

8. Jelas bulan Muharram bukanlah bulan baginda Nabi S.A.W berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya, baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari2 yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi S.A.W pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi S.A.W.


                               

9. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin Al Khattab R.A bukan pada zaman Rasulullah S.A.W, maka sudah pastilah tiada apa2 upacara ibadah khusus sama ada solat khusus atau puasa khusus atau bacaan doa khusus yang Nabi S.A.W lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar n khalifah2 selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik2 petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi S.A.W n Al Khalafa Al Rasyidin.

                                

Sumber: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

No comments:

Post a Comment