- Nabi Yaakub AS menasihati anak-anaknya yang bermaksud: “Maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.” -Surah al-Baqarah ayat 132.
- Anak-anak Nabi Yaakub AS menyahut seruan bapanya yang bermaksud: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepada-Nya sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).” -Surah al-Baqarah ayat 133
- Nabi Musa AS berkata kepada kaumnya yang bermaksud: “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepada-Nya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).” - Surah Yunus ayat 83.
Oleh itu, kita dapati Islam menjadi syiar yang umum digunakan bagi agama para nabi dan pengikut mereka sejak dari permulaan sejarah manusia sehingga ke hari ini. Di samping itu, al-Quran menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan kepada mereka agama baharu, malah ia adalah agama nabi dan rasul yang terdahulu.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Shura ayat 13: “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu tegakkan pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisih pada dasarnya.”

Islam membawa rahmat ke seluruh pelosok alam. Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan baginda SAW atau lebih dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan.

Sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat gagal berfungsi dengan baik. Golongan lemah sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa. Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana sini. Anak-anak dibunuh dengan kejam tanpa peri kemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan diperalatkan.

Jika diamati, sebenarnya cara hidup yang diteladani daripada Baginda SAW amat sinonim dengan budaya masyarakat Melayu di negara kita. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu banyak mencorakkan masyarakat Melayu menjadi masyarakat yang pemalu, berbudi bahasa, bersopan santun serta merendah diri.

Namun sebahagian umat Islam hari ini begitu tertarik dengan budaya dan tamadun dari Barat mahupun Timur yang masuk ke negara umat Islam. Mereka mengikutinya tanpa membuat tapisan sama ada ia mendatangkan manfaat atau pun mudarat.

Ini adalah kerana fitrah manusia sukakan hiburan. Akhir-akhir ini budaya berhibur secara melampau atau hedonisme mulai membarah dalam kalangan remaja Islam.

Jika melihat situasi masyarakat sekarang, para ibu bapa disaran merujuk kepada Surah Luqman dalam al-Quran yang menceritakan insan bernama Luqman al-Hakim kerana keistimewaannya memberi nasihat dengan menggunakan perkataan yang baik. Ibu bapa disaran mengambil tahu aktiviti anak-anak di samping bertegas memilih hiburan yang sihat sekali gus menjaga batas-batas susila dan akhlak Islam.

Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” - Riwayat Ibnu Majah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam pada tahun 2009 sebagai panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 membuat keputusan :
- Nyanyian yang liriknya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
- Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
- Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat liriknya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah;
- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus;
Ajarlah anak-anak kita meminati lagu dan melodi al-Quran melebihi alunan muzik yang melalaikan. Oleh itu, cara terbaik berdepan dan menangani cabaran semasa kini ialah dengan cuba mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah seperti dinasihatkan Baginda SAW. Islam sebagai cara hidup sudah lengkap serta relevan bermula zaman kebangkitan Nabi Adam AS diteruskan oleh para anbia’ terdahulu sehinggalah ke hari ini.

Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.