TANGISAN berkualiti ialah tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni diselaputi iman yang tebal. - Gambar hiasan
SIFAT manusia boleh berbeza kerana “stor iman” mereka. Manusia yang penuh iman di dada akan menangis di kala pengisian iman tak mampu ditambah. Itulah perihalnya para sahabat Nabi yang dikenal sebagai “orang yang keseduan menangis.”
Mereka pulang dengan kesedihan yang amat sangat seraya menangis kerana gagal bersama Rasulullah SAW ke medan Tabuk. Bukan Rasulullah SAW tidak mahu membawa mereka, tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan.
Inilah tangisan manusia yang kenal erti jihad dan ganjaran mentaati Rasulullah SAW. Impaknya sungguh dahsyat, “Tangisan keramat” mereka menjadi pujian berkekalan dibaca oleh semua manusia melalui al-Quran sehingga kiamat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). (al-Taubah: 91-92)
Siapakah manusia mulia yang menangis dalam ayat ini? Menurut para ulama mereka digelar sebagai al-bakka’in iaitu orang yang sangat kuat menangis kerana sedih tidak dapat memenuhi seruan Allah SWT.
Mereka terhalang kerana keperluan musafir dan jihad yang bakal menempuh perjalanan sejauh 600km tidak lengkap. Tambahan pula tiada kenderaan kosong yang boleh membawa mereka. Mereka adalah sekumpulan (tujuh orang sahabat nabi yang bergegas menyahut seruan jihad ke Tabuk pada tahun ke 9 Hijri (Tafsir Ibnu Kathir, Sirah Ibnu Hisyam, al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah).
Bukan sekali Allah SWT memuji tangisan hamba-Nya dalam al-Quran. Allah SWT pernah memuji pendeta Nasrani yang berdamping dengan al-Najasyi kerana mereka menangis keseduan mendengar al-Quran dibacakan kepada mereka.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 83 hingga 84 yang bermaksud: Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui kitab mereka) daripada kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh.
Inilah kisah tangisan yang berkualiti dalam al-Quran. Tangisan ini tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni halus diselaputi iman yang tebal. Hati yang “sensitif iman” sebegini diperoleh daripada siraman ilmu dan mujahadah melawan nafsu yang berpanjangan.
Jika ia pernah dimiliki oleh manusia pilihan yang lain, ia juga mampu kita miliki kerana kita dan mereka sama-sama manusia yang memiliki potensi yang sama. Marilah kita sama-sama menambah dan menghayati ilmu agar hati kita juga mudah menangis kerana Allah SWT.
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/tangisan-keramat-1.60711#sthash.lBA5fmcc.dpuf
No comments:
Post a Comment